Thursday, February 10, 2011

'Pandang-Pandang; Jeling-Jeling'- Kaedah Menulis Formula Kimia


Aktiviti 1: Reka Cerita

Hasil temubual dengan murid jelas menunjukkan bahawa murid lemah dalam menguasai kemahiran mengingat. Murid sering lupa dan keliru formula-formula ion bagi setiap unsur. Oleh yang demikian, penyelidik cuba menerapkan kaedah mnemonic bagi membantu murid supaya lebih mudah mengingat.

Murid-murid dibahagikan kepada empat kumpulan. Setiap kumpulan dibekalkan dengan sebatang pen marker dan manila kad. Mereka dikehendaki mereka cipta satu cerita yang menarik berpandukan formula-formula ion dalam kumpulan yang sama dalam masa lima belas minit.

Contoh:

Formula ion

Na+

K+

Ag+

H+

NH4+

Cerita

Nama

Kamu

Awang

Haji

Noh

Setiap kumpulan diberi masa selama lima belas minit bagi mengingati formula-formula ion kumpulan masing-masing dengan menggunakan Reka Cerita yang telah mereka hasilkan. Ketua kumpulan membentangkan hasil kerja kumpulan di akhir perbincangan.

Kemudian, kumpulan lain boleh menguji daya ingatan ahli-ahli kumpulan pembentang tersebut. Setiap murid perlu menyalin cerita yang direka oleh kumpulan lain di dalam buku nota masing-masing. Murid-murid kemudiannya, dikehendaki mengingati formula-formula ion tersebut dalam masa 3 hari sebelum menjalankan aktiviti kedua.

Pemerhatian

Semasa menjalankan aktiviti ini, didapati mereka teruja dan gembira. Ahli-ahli kumpulan menyumbangkan idea masing-masing. Setiap kumpulan cuba menghasilkan rekaan cerita terbaik.

Refleksi

Walaupun aktiviti ini nampak ringkas, namun ianya berjaya menarik minat murid dan menjadikan mereka lebih kreatif. Didapati, mereka juga lebih mudah mengingati formula-formula ion berbanding sebelum ini.

Aktiviti 2: Set Pandang-pandang, Jeling-jeling

Aktiviti bermula dengan pop kuiz formula ion. Ini bertujuan untuk menyediakan murid untuk aktiviti kedua dan sekaligus menguji daya ingatan murid terhadap formula ion yang telah mereka hafal dengan menggunakan Reka Cerita sebelum ini.

Pandang-pandang, Jeling-jeling merupakan kaedah yang diperkenalkan oleh penyelidik bagi memudahkan murid menulis formula sebatian kimia. Sebatian kimia yang terdiri daripada sebatian ion melibatkan gabungan ion bercas positif dan ion negatif. Bilangan atom unsur boleh ditentukan melalui bilangan cas unsur.

Setiap kumpulan diberikan Set Pandang-pandang, Jeling-jeling dan guru menerangkan terlebih dahulu cara menjalankan aktiviti ini.

Langkah 1: Guru mengemukakan nama sebatian kimia dan kemudian murid perlu menyusun ion-ion berkenaan.

Langkah 2: Murid perlu pandang-pandang bilangan cas atom unsur yang bercas negatif dan gerakkan nombor cas disebelah unsur yang bercas positif tanpa perlu membawa bersama cas.

Langkah 3: Murid perlu jelling-jeling bilangan cas atom unsur yang bercas poitif dan gerakkan nombor cas disebelah unsur yang bercas positif tanpa perlu membawa cas bersama.

Langkah 4: Cas positif dan negarif dibuang dan terhasillah formula sebatian kimia tersebut. Akhir sekali murid perlu menulis formula sebatian kimia di atas kad jawapan dan disemak oleh rakan lain dengan menggunakan senarai jawapan yang dibekalkan.

Seterusnya murid-murid dibenarkan bermain-main dengan Set Pandang-Pandang, Jeling-Jeling ini selama setengah jam. Senarai nama-nama sebatian turut dibekalkan dalam set ini bagi memudahkan murid mengadakan siri latihan ini secara kendiri.

Murid-murid kemudiannya diberikan dengan satu siri latihan yang perlu disiapkan dalam masa 2 hari. Latihan ini juga adalah bertujuan untuk mempersiapkan mereka untuk menghadapi aktiviti ketiga iaitu Perang Minda.

Pemerhatian

Didapati murid-murid kelihatan seronok sepanjang perlaksanaan aktiviti ini. Setelah aktiviti selesai, murid lebih mudah menulis formula sebatian kimia yang diberikan berbanding sebelum ini. Walaupun masih terdapat murid yang masih keliru dan bermasalah dalam mengingati formula ion, namun ianya dapat di atasi dengan bantuan murid-murid lain.

Refleksi

Kaedah ini akan diteruskan kerana ia bukan sahaja memudahkan murid malah guru. Guru hanya bertindak sebagai fasilitator dan membimbing murid-murid menjalankan aktiviti. Namun sikap sesetengah murid yang malas menghafal formula ion membuatkan mereka menghadapi masalah dipermulaan penyusunan ion-ion. Guru perlu memainkan peranan di sini supaya murid-murid ini sedar akan kepentingan menghafal formula ion.

Aktiviti 3: Perang Minda

Penyelidik terlebih dahulu menyediakan 6 sebatian kimia dalam Power Point.

Murid-murid membentuk enam kumpulan. Setiap kumpulan dibekalkan dengan satu kad jawapan kosong dan satu pen marker. Ahli kumpulan seramai 2 hingga 3 orang akan bergilir-gilir menulis formula sebatian kimia di atas kad jawapan yang diberikan. Satu markah diberikan untuk setiap formula sebatian kimia yang ditulis dengan betul.

Penyelidik menayangkan nama sebatian kimia dengan menggunakan LCD. Ahli kumpulan pertama setiap kumpulan mula menjawab dalam masa satu minit. Setelah masa tamat, murid-murid perlu mengangkat kad jawapan masing-masing. Jawapan akan ditayangkan berserta kesan bunyi tepukan. Kumpulan yang betul diberikan satu markah. Ahli kumpulan kedua pula akan menjawab soalan kedua. Keadaan ini berterusan sehingga soalan keenam. Kumpulan yang memperolehi markah terbanyak diisytihar sebagai pemenang Perang Minda.

No comments:

Post a Comment